"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Rasuah

Islam adalah satu agama yang tidak menghalang arus pemodenan bahkan agama Islam itu sendiri merupakan agama yang maju lebih maju dari mana-mana pemikiran manusia, hanya manusia sahaja yang mungkin tidak sedar. Sebagai bukti al-Quran terlebih dahulu menjelaskan mengenai planet-planet dan matahari yang beredar pada orbitnya sebagaimana di dalam firman Allah,

Terjemahan: Dan dialah yang Telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya. (surah al-Anbiya:33)


Terjemahan: Demi langit yang mempunyai jalan-jalan. (surah al-Dhariyat:7)

Perkara mengenai orbit telah dijelaskan oleh al-Quran ketika mana tiada alat canggih yang mampu mengkaji mengenai angkasa raya dan mendahului para saintis dan alat teknologi moden.

Sungguhpun begitu Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi dan Allah telah menegaskan bahawa tujuan manusia dijadikan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Justeru manusia wajib mematuhi segala perintah dan larangan Allah sesuai dengan status manusia sebagai HAMBA.

Namun pada masa kini semakin banyak kita dengar mengenai sikap manusia di dalam muamalat seharian kita yang acapkali membelakangkan larangan Allah. Salah satunya adalah dengan merasuah. Di sini dibawakan hadith-hadith mengenai larangan mengamalkan rasuah sebagai jalan singkat untuk hidup senang.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Terjemahan: Rasulullah saw melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah. (riwayat Abu Dawud)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Terjemahan: Rasulullah saw telah bersabda, Allah malaknat ke atas orang yang memberi dan menerima rasuah. (riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

  1. Di dalam kitab al-Fiqh al-Wadih rasuah bermaksud sesuatu yang diserahkan seorang zalim untuk suatu kezaliman mengambil sesuatu yang bukan haknya, atau merampas hak dari pemiliknya untuk balas dendam atau disebabkan kebencian, atau juga untuk mendapatkan jawatan yang tidak patut baginya atau amal yang bukan kemahirannya.
  2. Rasuah merupakan pemberian dari seseorang adalah untuk menafikan perkara yang hak atau untuk membenarkan perkara yang batil.
  3. Amalan rasuah adalah perkara yang secara terang-terangan DILARANG oleh Allah dan RasulNya.
  4. Pengamal rasuah adalah orang yang kurang akhlaknya kerana di dalam hati mereka terdapat sifat iri dan benci serta tamak untuk merampas hak orang lain dan menghancurkan orang lain.
  5. Marilah bersama-sama kita menjauhi rasuah yang mana ianya adalah perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Setiap rezeki adalah ihsan daripada Allah swt yang kita wajib syukuri. Bahkan harta yang berkat adalah lebih utama daripada harta yang melimpah tetapi tidak diberkati Allah.
  6. Bersama-samalah kita berusaha mengamalkan perintah yang disampaikan oleh baginda sebagai tanda kasih sayang kita kepada baginda.. =)

Bahaya merokok


Seperti mana yang diketahui bahawa merokok merupakan 1 amalan tidak sihat yang sepatutnya ditinggalkan oleh semua manusia.

Gejala ini semakin membahayakan terutama apabila ianya melibatkan pelajar sekolah dan remaja. Pelajar yang seharusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran akan tergugat matlamat hidupnya gara-gara rokok. Remaja pula adalah generasi pemangkin kepada negara sepatutnya berusaha untuk bersama-sama membantu kerajaan di dalam memerangi gejala merokok ini agar pada suatu hari kelak candu yang diperkenalkan oleh musuh Islam ini hanya akan menjadi 1 sejarah sahaja.

Di sini kami ingin berkongsi serba sedikit maklumat mengenai rokok yang semakin lama manjadi semakin popular walaupun pihak berwajib telah mengadakan kempen besar-besaran mengenai bahaya merokok ini.

  1. Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya ‘Halal dan Haram’ menyatakan bahawa rokok adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kegoyahan rumah tangga dan menghabiskan harta ini kerana perokok perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk merokok. Sehingga akan menyebabkan kos yang sepatutnya disalurkan kepada perbelanjaan rumah tangga dan persekolahan anak-anak terjejas kerana mahu membeli rokok. Bahkan kadang kala sanggup melakukan perkara yang dilarang seperi mencuri dan mengugut untuk mendapatkan rokok.
  2. Syeikh Dr yusuf al-Qaradawi menukilkan kata-kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah “Ganja ini adalah benda haram, sama ada orang yang melakukannya itu mabuk atau tidak..”
  3. Menurut Syeikh Dr yusuf al-Qaradawi seseorang Muslim bukanlah miliknya sendiri bahkan dia adalah milik agama dan umat Islam seluruhnya. Bahkan tubuh badan yang dimiliki adalah harta Allah dan bukan hak milik mutlak individu. Hidup, kesihatan, harta dan segala nikmatnya merupakan amanah yang tidak patut disia-siakan. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”
  4. Seterusnya beliau berkomentar lagi bahawa hukum merokok itu yang membahayakan pelakunya adalah haram, khasnya apabila doktor pakar telah menyatakan bahayanya seseorang itu merokok.
  5. Pada 1 Oktober 2009, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan penetapan harga minimum di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2009 dengan harapan jumlah perokok akan semakin berkurangan terutama dikalangan kanak bawah 12 tahun dan remaja kerana tidak mamapu membelinya.
  6. Berdasarkan statistik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan jumlah perokok di negara ini akan terus meningkt sehingga 3.8 juta orang pada tahun 2015.
  7. Namun telah wujud lambakan rokok murah di pasaran sekarang yang mana sedikit sebanyak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk mengekang atau mengurangkan jumlah perokok.
  8. Bagaimana ingin mengenali rokok murah/haram? Rokok ini tidak dibayar cukai dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Selain itu ianya dijual kurang daripada harga minimum iaitu RM7. Ianya juga tidak memaparkan amaran kesihatan bergambar.
  9. Perbezaan antara rokok murah/haram dan rokok yang dipantau kerajaan.

Rokok berlesen

Rokok haram

Harga minimum RM7

Harga kurang daripada RM7

Tidak boleh melebihi 1.5miligram nikotin sebatang

Mengandungi nikotin sehingga 2 miligram sebatang

Tidak melebihi paras 20 miligram tar sebatang

Tar mencecah sehingga 30 miligram sebatang

  1. Walau seberapa kurang pun jumlah tar dan nikotin yang terkandung di dalam sebatang rokok ianya tetap membahayakan kepada kesihatan diri dan orang lain. Bahkan ianya membazirkan harta terutama bagi sesiapa yang hanya ‘cukup2 makan’ sahaja.

senda gurau~

Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambanya. Islam merupakan satu agama yang mementingkan ukhwah yang erat, membenci dendam dan persengketaan. Mari kita renungkan hadith dibawah ini;

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ كَانَ اسْمُهُ زَاهِرًا كَانَ يُهْدِي لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْهَدِيَّةَ مِنْ الْبَادِيَةِ فَيُجَهِّزُهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ زَاهِرًا بَادِيَتُنَا وَنَحْنُ حَاضِرُوهُ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّهُ وَكَانَ رَجُلًا دَمِيمًا فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا وَهُوَ يَبِيعُ مَتَاعَهُ فَاحْتَضَنَهُ مِنْ خَلْفِهِ وَهُوَ لَا يُبْصِرُهُ فَقَالَ الرَّجُلُ أَرْسِلْنِي مَنْ هَذَا فَالْتَفَتَ فَعَرَفَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ لَا يَأْلُو مَا أَلْصَقَ ظَهْرَهُ بِصَدْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ عَرَفَهُ وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ يَشْتَرِي الْعَبْدَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذًا وَاللَّهِ تَجِدُنِي كَاسِدًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَكِنْ عِنْدَ اللَّهِ لَسْتَ بِكَاسِدٍ أَوْ قَالَ لَكِنْ عِنْدَ اللَّهِ أَنْتَ غَالٍ

Terjemahan: Dari Anas katanya suatu hari seorang lelaki badui bernama Zahir telah memberikan hadiah dari kampungnya kepada nabi maka Rasulullah pun memberikan bekalan kepadanya ketika hendak pulang. Baginda bersabda “Sesungguhnya Zahir adalah badui yang merupakan sebahagian dari kita dan kita adalah orang kota”. Rasulullah saw sendiri menyayangi Zahir walaupun tidak memiliki wajah yang tampan. Suatu hari Rasulullah saw mendatanginya ketika dia sedang menjual barang dagangannya dan mendakapnya dari belakang dan Zahir tidak dapat melihat siapa yang mendakapnya dan berkata “lepaskan aku. Siapa ni?”. Apabila dia menoleh maka ketahuilah bahawa ianya adalah nabi, dan Zahir terus berusaha agar belakangnya tetap menyentuh dada Rasulullah saw. Kemudian baginda bersabda “siapa yang hendak membeli budak ini”. Maka Zahir berkata “nanti engkau akan dapati aku ini tidak bernilai”. Baginda bersabda “tetapi disisi Allah engkau bukanlah orang yang tidak bernilai”.

*Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya. Dinilai sahih oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya Mukhtasar Syamail.

1- Islam merupakan satu agama yang ceria, tidak membebankan dan bukan agama yang menyuruh umatnya agar terus menerus bersikap serius dan masam sepanjang masa.

2- Di dalam pergaulan sosial janganlah memilih status keturunan dan pangkat sahaja. Agama Islam bukanlah agama yang mengajar umatnya mengamalkan kasta tertentu yang mana golongan kaya hanya layak sesama mereka dan sebaliknya. Malah Islam mengajar bahawa kemuliaan seseorang bukan diukur dari segi darjat keturunan bahkan ukurannya adalah tahap ketaqwaan seseorang.

3- Berdasarkan hadith di atas jelaslah bahawa Rasulullah merupakan seorang yang amat menyayangi sahabat-sahabatnya yang beriman. Tidak menyakitinya malah ada masa untuk bercanda sesama mereka.

4- Menilai seseorang berdasarkan zahirnya sahaja bukanlah tindakan yang bijak kerana walaupun Zahir seorang badui yang tidak tampan rupa parasnya sehinggakan dia tidak ada nilai pada pandangan mata manusia namun Rasulullah menyatakan bahawa di sisi Allah dia adalah mahal dan sangat berharga.

Aidil adha

assalamualaikum..

Kepada semua rakan-rakan tidak kiralah sama ada rakan ketika belajar atau rakan sekerja..
saya dan keluarga mengucapkan
taqabbalallah minna waminkum kepada semua saudara seislam kami.
Semoga perayaan yang telah dihadiahkan oleh Allah ini menjadi satu pemangkin kepada kita untuk terus berjaya dan seterusnya menyumbang bakti kepada agama demi menjulang kalimah tauhid
La Ilaha IllaLlah.
kami berdoa juga agar kita semua dipilih oleh Allah untuk mengikut jejak langkah rasulullah di dalam kehidupan seharian dengan berpandukan sunnah yang sahih. Amiin.

penawar duka

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُك
أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي


“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku”

Sekiranya doa ini dibaca ketika berada di dalam kesedihan insyaAllah Allah akan mengamankan diri seseorang daripada perasaan bimbang dan dihilangkan oleh Allah kesedihan.

*Ramai dikalangan manusia sekarang yang sering melupakan Allah ketika mana berada di dalam kesedihan. Ramai yang mengambil jalan mudah untuk menghilangkan kesedihan, kebimbangan hati dengan memilih jalan yang tidak diiktiraf oleh Islam. Contohnya, ramai yang berfikiran cetek bahawa dengan membunuh diri atau membunuh jiwa lain dapat menyelesaikan masalah. Marilah sama-sama kita mengamalkan apa yang telah diajarka oleh baginda nabi saw ini. Ini kerana apa sahaja yang telah dijanjikan oleh baginda nabi merupakan satu kebenaran. Jom kita berusaha ke arah mencari keredaan Allah dengan melakukan perkara-perkara sunnah dan menjauhi bidaah.

zakaria
10/7/5

bulan sya'ban..

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَامًا فِي شَعْبَانَ

Di dalam taqwim Islam, terdapat 12 bulan yang menjadi panduan seharian umat Islam. Bulan-bulan Islam tersebut dimulai dengan bulan Muharram diakhiri dengan Zulhijjah. Saban tahun umat Islam pasti akan melalui bulan Sya’ban ini. Bulan ini. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw lebih banyak berpuasa pada bulan Sya’ban diikuti pula dengan berpuasa penuh pada Ramadan. Tidak pula dinyatakan bahawa baginda berpuasa tiga bulan berturut-turut dari bulan Rejab hingga bulan Ramadan. Di dalam riwayat di atas dinyatakan oleh Umm al-Mukminin bahawa beliau tidak pernah melihat baginda nabi saw berpuasa lebih banyak pada bulan-bulan yang lain kecuali bulan Sya’ban. Hadith yang dibawakan di atas diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya, di dalam kitab puasa. Justeru sebagai seorang muslim yang mengaku menyayangi baginda tentulah akan mengikut jejak langkahnya sebagaimana para generasi tiga kurun pertama dan para ulama terutamanya yang sentiasa menyibukkan diri dengan mengkaji hadith-hadith baginda. Namun tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban sedangkan tidak pada bulan lain.


عن أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ


Jelas pada hadith di atas menunjukkan baginda merupakan seorang insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah walaupun baginda telah dijanjikan pengampunan dosa-dosanya dan memiliki sifat maksum sebagai seorang nabi. Riwayat di atas telah diriwayatkan oleh al-Nasa’i di dalam sunannya di dalam kitab puasa dan dinilai sebagai hadith hassan oleh syeikh al-Albani. Hadith di atas menerangkan betapa baginda tidak selesa jika amalannya dinaikkan untuk dipersembahkan kehadapan Allah tanpa berpuasa kerana jelas baginda bulan tersebut adalah bulan di mana amalan-amalan manusia di angkat ke hadrat Allah dan baginda sendiri mahu amalannya diangkat dalam keadaan baginda berpuasa. Justeru marilah sama-sama kita berusaha untuk perbanyakkan berpuasa pada bulan Sya’ban yang bakal menjelma tidak lama lagi disamping sebagai penghias kepada amalan kita yang bakal dinaikkan ke hadrat Ilahi juga sebagai persediaan untuk menghadapi Ramadan.


 

Blog Template by Adam Every. Sponsored by Business Web Hosting Reviews