"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

puasa ramadan~

Umat Islam diwajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadan sebagaimana yang diperintahkan kepada umat-umat terdahulu. Para ulama mengistinbat kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan melalui surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai Orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Rasulullah saw bersabda:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

“Islam dibina di atas lima asas, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pseuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji dan berpuasa di bulan Ramadan” (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Kegembiraan untuk orang yang berpuasa

Rasulullah saw bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

“Setiap amalan anak cucu Adam adalah untuk (manfaat) dirinya sendiri, melainkan berpuasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi ganjaran kepadanya” (hadith qudsi diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Rasulullah saw bersabda,

وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi disisi Allah berbanding bau wangian kasturi” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Rasulullah saw bersabda,

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

“Syurga mempunyai satu pintu yang disebut Bab al-Rayyan. Dari situlah orang-orang yang berpuasa masuk ke dalam syurga pada hari qiamat dan tidak memasuki dari pintu tersebut selain orang yang berpuasa. Jika mereka sudah masuk ke dalam syurga, maka pintu tersebut ditutup.” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Melalui tiga hadith di atas sudah cukup untuk seseorang muslim menanamkan rasa kegembiraan di dalam hati masing-masing dan membakar semangat yang berkobar-kobar untuk menjalani ibadah puasa dengan ikhlas dan mengharapkan janji-janji yang telah Allah khabarkan. Jelaslah Allah memandang mulia bagi umat Muhammad yang berpuasa dengan seikhlas hatinya sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda-Nya maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (muttafaq ‘alaih).

Manakala hadith-hadith dibawah ini pula menunjukkan bahawa Allah tidak pernah menzalimi anak cucu Adam bahkan Allah dengan penuh sifat kasih sayang dan limpahan rahmatnya sentiasa tercurah ke atas mana-mana hamba yang mendambakannya. Di dalam hadith-hadith dibawah menceritakan bahawa para syaitan akan dibelenggu dan pintu-pintu neraka akan ditutup rapat manakala pintu-pintu syurga akan dibuka seluasnya. Syaitan-syaitan dibelenggu agar tidak dapat menghembuskan bisikan-bisikan kemaksiatan kepada anak Adam, dan yang tinggal hanyalah nafsu yang ada di dalam diri masing-maisng. Dan nafsu ini sepatutnya tunduk dan lemah dengan tuntutan Ibadah puasa yang sempurna iaitu dengan menjaga setiap perbuatan ketika berpuasa seperti tidak meninggalkan solat dengan sengaja, tidak bercakap bohong, tidak melakukan ghibah/mengumpat, tidak bergaduh dan bercakap perkataan yang kesat dan lucah. Ibadah puasa disyariatkan kepada anak Adam agar ketaqwaan bersemadi di dalam diri dan sekaligus dapat mengawal kebuasan nafsu amarah yang sentiasa meronta-ronta inginkan kemaksiatan.

Rasulullah saw bersabda,

عَنْ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Jika datang bulan Ramadan maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim)

Rasulullah saw bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

“Jika telah datang awal bulan Ramadan, diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu pun yang tertutup, berserulah seorang penyeru: “Wahai orang yang ingin kebaikan lakukanlah! wahai orang yang ingin keburukan kurangkanlah! Dan bagi Allah mempunyi orang-orang yang dibebaskan dari neraka dan ianya terjadi pada setiap malam”” (hadith hasan diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Khuzaimah. Dinilai sahih oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani)

Ancaman untuk orang yang tidak berpuasa

Rasulullah saw bersabda,

حدثني أبو أمامة الباهلي ، رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم ، يقول : بينا أنا نائم إذ أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا فقالا لي : اصعد فقلت : إني لا أطيقه ، فقالا : إنا سنسهله لك فصعدت حتى إذا كنت في سواء الجبل إذا أنا بأصوات شديدة فقلت : ما هذه الأصوات ؟ قالوا : هذا عوى أهل النار ، ثم انطلق بي فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم تسيل أشداقهم دما ، قال : قلت : من هؤلاء ؟ قال : هؤلاء الذين يفطرون قبل تحلة صومهم

“Ketika aku tidur, datanglah dua orang pemuda kemudian memegang dua lenganku, membawaku ke satu gunung kasar (tidak rata), keduanya berkata “Naik”. Aku berkata “Aku tidak mampu”. Keduanya berkata “Kami akan memudahkanmu”. Aku pun naik sehingga ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Aku pun bertanya “Suara apakah ini?”. Mereka berkata “Ini adalah teriakan penghuni neraka”. Kemudian keduanya membawaku, ketika itu aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya “Siapa mereka?”. Keduanya menjawab “Mereka adalah orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka(tidak berpuasa tanpa keuzuran).” (diriwayatkan oleh Ibn al-Hibban dan al-Hakim. Al-Hakim memberi komentar bahawa hadith ini sahih mengikut syarat-syarat Muslim. Hadith ini disahihkan oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya al-silsilah al-sahihah)

Begitulah gambaran yang digambarkan oleh baginda saw bagi orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran syar’i. Tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang mahu ke neraka walaupun non-muslim. Mereka percaya bahawa neraka merupakan satu tempat yang penuh kesengsaraan namun bagi umat Islam, neraka bukan sahaja tempat yang penuh dengan seksaan dan kesengsaraan tetapi penuh dengan kemurkaan dan laknat Allah. Marilah bersama-sama kita menyemarakkan Ramadan dengan amalan puasa di siang hari dan bertarawih serta qiam di malam hari.

MohdZakaria

0 comments:


 

Blog Template by Adam Every. Sponsored by Business Web Hosting Reviews